Beberapa minggu yang lalu kita dikejutkan dengan permintaan seorang wanita yang meminta mahkamah mengisytiharkan diri sebagai seorang lelaki. dan ada juga beberapa keluhan yang pernah sampai ke telinga kita semua…"kenapalah aku dijadikan sebagai wanita? Alangkah seronoknya kalau aku dijadikan sebagai lelaki.."
Astaghfirullah…kenapa sampai begitu sekali ucapan saudariku? Kenapa harus mengeluh dengan kejadian diri? Tidakkkah sahabatku sekelian mengetahui, betapa hebatnya kedudukan seorang wanita. Sememangnya, kebanyakan antara wanita menjadi mangsa penderitaan yang disebabkan oleh lelaki tetapi derita tersebut hanya di dunia semata.
Islam telah menjanjikan martabat yang tinggi untuk wanita sekiranya wanita itu patuh dengan perintahNya. Malahan, wanita adalah makhluk yang lebih mudah untuk mengumpul pahala.
Sebuah hadis Rasulullah s.a.w menyebutkan bahawa:
Wanita apabila ia sembahyang lima waktu, puasa sebulan Ramadhan, memelihara kehormatan serta taat pada suami, maka masuklah mana-mana pintu syurga yang ia kehendaki. (Riwayat dari Ahmad Ibnu Hibban, Thabarani, Anas bin Malik).
Bukan itu sahaja, Rasulullah s.a.w turut menegaskan bahawa tiap-tiap wanita yang menolong suaminya di dalam urusan agama, maka Allah memasukkannya ke dalam syurga lebih dahulu dari suaminya (sepuluh ribu tahun) kerana dia memuliakan suaminya di dunia dan dia juga mendapat pakaian dan bau-bauan syurga untuk turun ke mahligai suaminya dan mengadapnya.
Bukan itu sahaja sahabatku sekelian, segala jerih payah seorang wanita mengandungkan zuriat suami juga mendapat pengiktirafan yang amat tinggi. Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud: Apabila wanita mengandung janin dalam rahimnya, maka beristighfarlah para malaikat untuknya, Allah mencatatkan baginya setiap hari seribu kebajikan dan menghapus baginya seribu kejahatan.
Rasulullah s.a.w bersabda lagi yang bermaksud: Apabila wanita mulai sakit untuk bersalin, Allah mencatatkan baginya pahala orang yang berjihad pada jalan Allah (perang sabil) dan apabila wanita melahirkan anak maka keluarlah dosa-dosa darinya seperti keadaan ibunya melahirkannya.
Subhanallah…Maha suci Allah, betapa besarnya anugerah yang Islam berikan kepada yang dilahirkan sebagai wanita. Apa yang disebutkan di sini hanyalah sedikit, InsyaAllah, masa demi masa, kita akan sama-sama mengorek rahsia, indahnya dijadikan sebagai wanita.
Lantas…berbanggalah…!