Isra' dan Mikraj (Sebelum Hijrah)
Pada suatu hari, Jibril a.s datang berjumpa dengan Nabi s.a.w dengan membawa bersamanya seekor Buraq (sejenis binatang tunggangan yang lebih kecil dari baghal dan lebih besar dari keldai). Lalu Jibril membawa Nabi s.a.w ke Baitulmuqaddis di Palestine di mana Nabi s.a.w dapati kesemua para Nabi alaihimussolatu wassalam menyambut ketibaan baginda. Di antara mereka ialah Nabi Ibrahim, Nabi Musa dan
Nabi Isa alaihimussalam kemudian baginda mengimamimereka mendirikan sembahyang sebanyak dua rakaat.
Selepas itu baginda Mikraj ke langit, di sana baginda berjumpa dengan beberapa orang Nabi dan sempat bercakap dengan mereka serta mereka mengalu-alukan kedatangan baginda ke sana. Nabi s.a.w juga melihat syurga dan pelbagai jenis nikmat yang telah disediakan oleh Allah kepada orang-orang yang bertakwa, disamping itu baginda juga melihat neraka dan pelbagai jenis seksaan yang disediakan kepada orang-orang yang kafir. Kemudian baginda naik ke atas Arasy untuk bermunajat kepada Allah, tempat tersebut tidak pernah dinaiki oleh Nabi atau Rasul yang lain begitu juga malaikat yang paling rapat dengan Allah s.w.t.
Setelah itu Nabi s.a.w kembali semula ke Mekah pada malam yang sama dalam keadaan dibekalkan dengan tenaga rohani yang sangat hebat. Peristiwa tersebut menjadi perangsang kepada Nabi supaya hati baginda tetap teguh, juga sebagai penghibur hati baginda di dalam menghadapi penyeksaan Quraisy selepas kematian Khadijah isteri baginda dan juga selepas kematian Abu Talib bapa saudara baginda pada tahun tersebut yang dinamakan dengan "Tahun Kesedihan".